MODEL
PENGURUSAN EKONOMI HALAL : SIMULASI PEMBANGUNAN SUKUK IJARAH DALAM WAKAF
PENDIDIKAN TINGGI
1.0 PENGENALAN
Ekonomi halal
memberi makna kepada apa-apa sahaja produk, perkhidmatan dan sistem kewangan
yang berasaskan kepada konsep halal. Halal dalam Islam bermaksud : Apa-apa
sahaja produk yang dibenarkan penggunaannya dalam Islam seperti makanan yang
bersih (tidak najis), yang disembelih, bebas dari riba dan gharar (penipuan)
dan perkara-perkara yang tidak pasti (syubhah). Ini berdasarkan kepada quran
dalam ayat 169 surah baqarah dan hadis
nabi yang diriwayatkan oleh al-hakim : Nabi berkata kepada sa’ad perbaikilah
makanmu, akan mustajab doamu, hamba yang memakan daripada yang haram tidak
diterima amalannya 40 hari, mana-mana hamba yang makan dari daging yang haram
dan riba maka nerakalah tempat yang lebih utama (Fahrul Irfan Ishak,2011)
Barangan halal di kalangan umat Islam
telah lama ada, namun ekonomi halal yang menggabungkan tatacara halal dan
perekonomian masih baru. Bagi merealisasi ekonomi halal, halal hub
dilaksanakan, diantaranya Malaysia. Malaysia telah memperkenalkan standard
MS1500:2004 bagi produk-produk halal dan potensi bagi industry halal boleh
digambarkan seperti rajah dibawah:
Potensi produk-produk halal ini memerlukan
dana-dana pelaburan yang menepati syariah yang digunakan bagi pembangunan
produk-produk halal. Ini bertepatan dengan tujuan kewangan Islam yang memperaku
aset pendasar yang menjadi asas kepada kewangan semestinya halal dan bermanfaat
kepada manusia (Nik Maheran,2009).
Model
pengurusan ekonomi halal secara umumnya kembali kepada model Quran dalam
aktiviti ekonomi yang di istilahkan sebagai plan utama penciptaan manusia.
Dalam pelan ini, manusia dikenali sebagai pengguna yang diuji samada melakukan
kebaikan atau kerosakan di muka bumi ini. Seterusnya pelan ini dikenali sebagai
ekonomi yang memperlihatkan kesyukuran sebagai modelnya (Mohammad E.
Biraima,1991). Theory of Reasoned Action (TRA), Theory of Planned Behavior
(TPB), Technology Acceptance Model (TAM) dan Triandis Model telah digunakan dalam pelbagai bidang bagi
mengukur dan mengenalpasti gelagat pengguna dan keputusan yang dibuat oleh
mereka dalam aktiviti ekonomi. Dalam kajian yang dilakukan oleh Nazahah Abd. Rahim dan Sutina Junos (2012) mendapati bahawa
teori TPB sesuai sebagai model pengurusan gelagat pengguna Islam.
Kajiannya mendapati bahawa produk-produk
halal dipengaruhi oleh niat dan sikap
mereka. Oleh itu, untuk mendorong pengguna mencuba dan terlibat dalam ekonomi
halal tumpuan pada faktor motivasi mencari halal adalah amat penting.
Walaubagaimanapun,
ekonomi halal masih lagi tertumpu kepada produk dan bukannya sebagai satu
proses dan integrasi diantara barangan dan perkhidmatan kewangan. Bahkan di
Malaysia, produk-produk halal yang dimaksudkan adalah lebih kepada
produk-produk kepenggunaan. Oleh yang demikian model perniagaan halal perlu
diperluaskan kepada pelbagai industri, termasuklah perniagaan hartanah dan
pendidikan. Untuk mencapai matlamat itu, sistem informasi yang canggih perlulah
dibina bagi memudahkan urusan. Model ekonomi halal juga perlu memandangkan
kepada elemen kebajikan seperti model waqaf yang memperuntukkan kebajikan dalam
sistem ekonomi.
Oleh yang
demikian, industri halal bukan sahaja melibatkan barangan dan produk
perkhidmatan yang ditawarkan halal tetapi ia mestilah memperlihatkan tujuan
ekonomi Islam itu sendiri sebagai menjaga kebajikan semua pihak agar ia selari
dengan konsep kesyukuran terhadap Allah swt. Sehubungan dengan itu bidang
hartanah dan pembangunan model waqaf pendidikan tinggi boleh dimasukkan dalam
kerangka industri Halal yang boleh membuka lembaran baru dalam perekonomian
Halal, memandangkan kedua-duanya adalah faktor penting dalam sumber ekonomi.
Bagi menjayakan proses memadankan faktor dana (modal) dan perniagaan benar
dalam kedua sektor ini, alat-alat kewangan diperlukan bagi membangun sebuah
model pengurusan ekonomi halal.
Diantara alat kewangan Islam yang dikenalpasti sebagai model
pemadananan hartanah ialah Sukuk Ijarah. Ia ialah alat kewangan Islam yang
boleh dijual-beli dan ditebus apabila sampai tempoh matang. Ia diterbit dengan
mengenal aset pendasar yang boleh dijual beli bagi menjayakan pensekuritian
ini. Pemilik aset akan menyewakan aset kepada SPV iaitu sebuah syarikat yang
ditubuhkan bagi menguruskan harta aset. Aliran tunai sewaan diantara keduanya
akan ditulis dan diterbitkan oleh SPV bagi menarik pelaburan daripada pelabur
dalam bentuk hakmilik unit yang tidak boleh dipecahkan. Diakhir sewaan pemilik
aset akan membeli aset dari SPV dan seterusnya pelabur boleh mendapat hasil
pelaburan dari jual beli tersebut (Mohd Hashim Kamali, 2007) Gambar rajah
dibawah menerangkan dengan lebih lanjut bagaimana proses penerbitannya berlaku
.
Sukuk Ijarah boleh dipelbagaikan melalui
pelbagai teknik ijarah atau teknik sewaan Islam yang dibenarkan oleh Majlis
Penasihat Syara’. Diantaranya, pure-ijarah (sewaan sebenar) seperti dalam Sukuk
BNM yang memberikan sewaan sebenar dan bukannya sewaan kewangan, konsep ijarah
bi mutahiya tamlik (sewa beli) yang boleh dijual beli pada pihak ketiga . Sukuk
Ijarah Mausufah Fi Zimmah pula seperti Sukuk PLSA dimana transaksi mudarabah
digunakan untuk membina jalan dan mendapat keuntungan daripada kutipan tol serta transaksi sewaan aset-aset yang dibina.
(Muhd Azizur Rahman Ramli, 2010).
Pengertian
sukuk wakaf secara ilmiahnya tidak ditulis oleh para ulama terdahulu, secara
amnya sukuk wakaf adalah sukuk atau sijil pelaburan Islam yang digunakan untuk
tujuan wakaf. Hasil daripada keuntungan sukuk ini dipulangkan kepada mereka
yang berhak. Walaubagaimanapun, terdapat perselisihan pendapat tentang hukum
mewakafkan wang tunai dan aset-aset kewangan (Kamal Taufiq Hatab, 2006)
Kesimpulannya Sukuk
Ijarah ialah produk halal yang boleh dijadikan sebagai model pengurusan
pemadanan modal halal dan perniagaan hartanah yang berpotensi tinggi dalam
sektor industri halal. Walaubagaimanapun produk Sukuk Ijarah yang memadankan
produk halal hartanah dan nilai kebajikan masih lagi tidak ditemui dalam
pasaran. Oleh itu perlunya produk yang menggabungkan ciri-ciri aset pendasar,
model pengurusan dan nilai-nilai kebajikan dalam satu model pengurusan ekonomi
halal.
2.0
PEMBANGUNAN WAKAF PENDIDIKAN TINGGI
Satu artikel
yang ditulis oleh Asmak Abd Rahman (2009), wakaf ialah suatu bentuk penyerahan
harta sama ada secara (sorih) terang, atau (kinayah) sisndirian, dimana harta
berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan utnuk
tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus. Dari segi
istilah ia bermaksud menahan sesuatu harta seseorang untuk dimanfaatkan oleh
orang lain. Harta yang diwakafkan hendaklah berada dalam keadaan yang baik,
kekal dan tujuan ia melakukan wakaf adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah
wt dan member kebajikan kepada orang lain. Dalam pelaksanaan wakaf terdapat
empat elemen untuk menjadikan wakaf itu sah dan terlaksana iaitu pewakaf,
penerima wakaf, harta yang diwakafkan dan lafaz wakaf.
Terdapat dua
kategori wakaf yang boleh diwakafkan iaitu harta tak alih (hartanah) dan harta
alih (buku, sejadah). Di Malaysia, pihak yang menguruskan harta wakaf,
membangun, menyelenggarakan serta melabur harta wakaf supaya berkembang di
amanahkan kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji. Jabatan ini mempunyai unit-unit
di jabatan dan majlis agama Islam di
setiap negeri di Malaysia. Fungsi jabatan dan unit ini adalah menyelenggarakan
dan mentadbir harata wakaf dengan baik sesuai dengan fungsi majlis sebagai
pemegang amanah kesemua wakaf termasuklah menerima dan menyelaras hasil-hasil
wakaf. Saham wakaf pula bermaksud mewujudkan suatu wakaf musytarak
(berkelompok) melalui sumbangan yang diterima daripada masyarakat ke dalam satu
tabung amanah wakaf yang mana akan ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan
badal atau ganti wang. Pada masa ini peranan wakaf dalam pembangunan ekonomi dapat
dilihat di seluruh dunia. Contohnya di Singapura 170 ribu pekerja Islam membuat
caruman dalam skim wakaf dan dapat mengumpul sebanyak 6 juta setiap tahun.
John K.Baragg
(2010) pula mendapati bahawa terdapat dua kategori wakaf yang di amalkan di pemerintahan othmaniah.
Kategori pertama, harta wakaf sebenar (true foundation property) iaitu seperti
aset hartanah, bangunan dan aset tak alih. Kedua, yang dinamakan mustaghallat
ialah aset yang digunakan sebagai sandaran bagi mendapatkan pinjaman tunai dimana ia digunakan untuk
membiayai penyelenggaraan harta-harta wakaf. Pinjaman ini menyamai dengan
konsep bon moden pada masa kini. Beliau juga mendapati bahawa peranan pinjaman
yang didapati daripada harta-harta wakaf ini boleh diguna untuk membiayai projek-projek
perniagaan dan pekedai runcit.
Di USA ada
empat jenis model pengurusan endowment bagi membangunkan pendidikan tinggi.
Model tersebut menggunakan sepenuhnya pengurusan konsultasi, melantik syarikat
luar bagi mengendali dana dan menggunakan latihan dalam pejabat untuk menguruskan
dana endowment ini. Sean Jenkins (2008) mengkaji bagaimana dana-dana sumbangan
bagi pendidikan (education endownment) diamalkan di beberapa university dan
mendapati bahawa setiap university yang mempunyai dana seperti ini akan
diuruskan dan digunakan bagi membeli saham-saham, bon-bon dan dana pelaburan
yang boleh didapati dari pasaran modal. Dana-dana ini amatlah berkembang secara
drastic contohnya dana university Michigan berjumlah USD 106 juta dan lima
tahun selepasnya ia berkembang kepada USD 203 juta. Ini menunjukkan kejayaan
pengurusan dana melalui strategi yang disebut diatas.
Robert Louise
Stantan McElhaney (2010) mendapati dua sumber pendapatan institusi pendidikan
tinggi awam iaitu geran dari kerajaan dan yuran pengajian. Beliau mendapati
bahawa definisi dana endownment ialah : Dana yang didapati dari wang tunai,
aset kewangan, atau aset yang mempunyai aliran tunai bagi membiayai organisasi
yang bukan berasaskan keuntungan. Penggunan aset adalah berbentuk bersyarat, bebas
dan spara bebas. Secara keseluruhan dana ini didapati dari
penyumbang-penyumbang yang menyumbang secara tetap. Berdasarkan kepada FASB,
true endownmet adalah sumbangan yang diberikan oleh penyumbang yang menghadkan
penggunaannya yang tertentu sahaja. Mana-mana lebih dari sumbangan boleh
dilaburkan dalam bagi tujuan pengembangan dana. Pendapatan endownment dikira
dari dividen stok, bunga bon, royalti dan pendapatan-pendapatan dari aset
kewangan.
Di antara
contoh wakaf pendidikan di Malaysia yang melibatkan institut pengajian tinggi
ialah IIUM Endownment Fund . Dana wakaf ini bertujuan untuk menerima aset,wang
tunai, saham dan aset-aset kewangan dalam negara dan luar negara yang akan
digunakan untuk membiayai biasiswa, pinjaman dan urusan pengembangan dana
seperti aktiviti pelaburan. Terdapat empat aktiviti utama bagi tujuan
pengembangan dana, iaitu kutipan derma korporat, kempen wakaf, program kafalah
dan hasil yang diperolehi dari perniagaan. Daripada keempat-empat cara yang
digunakan, sumbangan korporat dan hasil perniagaan menjanakan sumbangan yang
terbesar. Dana wakaf ini diantara tahun 2000 sehingga 2004 berjumlah RM 17.6
juta. Walaupun begitu pencapaian dan hasil dana tidak stabil dari tahun ke
tahun dimana hasil dari aktiviti-aktiviti naik turun. Diantara halangan dan
cabaran dalam wakaf pendidikan ialah salah faham tentang pengurusan dana
sadaqah dan sumbangan. Dana-dana ini bercampur diantara konsep zakat dan wakaf
menyebabkan masyarakat salah faham tentang pengurusan bagi dana wakaf.(Mohamad
Akram Laldin, 2012)
Pembangunan
wakaf pendidikan tinggi bukan sahaja dibina di atas modal halal tetapi
semestinya suasana yang diperlukan mestilah halal. Wan Sahida dan Suhaimi Ab
Rahman (2011) mendapati bahawa premis dan perniagaan halal seperti perniagaan hotel
perlu juga halal. Iaitu dengan menyediakan makanan halal, pekerja-pekerja mesti
memakai pakaian yang menutup aurat, mempunyai fasiliti yang menyediakan
kemudahan pengasingan kedua-dua gender, penekanan kepada solat dan tidak
mempunyai unsur-unsur haram seperti kelab malam.
Kesimpulannya, pendidikan
tinggi memerlukan modal yang tinggi dan
ia memerlukan produk kewangan dan premis yang halal. Walaupun waqaf dikenal
pasti sebagai instrumen kebajikan Islam, namun harta waqaf masih lagi beku dan
tidak digunakan sepenuhnya. Terkadang ada juga harta yang hendak diwakaf yang
bukan statusnya halal seperti hotel yang tidak menepati syariah. Oleh itu,
perlunya produk kewangan yang boleh mencairkan harta yang beku kepada tunai dan
juga perlu dipastikan harta waqaf ini adalah halal dan bukannya datang daripada
unsur-unsur yang haram..
3.0 SIMULASI SUKUK DAN PEMBANGUNAN ASET WAKAF PENDIDIKAN TINGGI
Bagi
membangunkan aset wakaf, Zulkifli Hassan (2007) mendapati tanah wakaf di
Malaysia berjumlah 20,735.61 ekar dan negeri Johor merupakan negeri yang
mempunyai tanah wakaf yang terbanyak. Beliau juga produk kewangan berasaskan
ekuiti seperti musyarakah dan mudarabah
yang boleh dijadikan sebagai instrumen bagi membangunkan tanah wakaf di
Malaysia, seperti yang berlaku di Pulau Pinang dimana Majlis Agama Islam Pulau
Pinang telah membangunkan 36 unit rumah dengan syarikat pembangunan JKP Sdn.Bhd
di atas tanah wakaf berasaskan konsep musyarakah. Hasil keuntungan dari
penjualan rumah itu akan dikongsi bersama diantara pemaju dan Majlis Agama
Islam. Beliau juga mencadangkan agar aset tanah wakaf ini dijadikan sebagai
aset pendasar dalam membangunkan sekuriti Islam atau sukuk bagi membangunkan
projek-projek hartanah diatas tanah wakaf yang memberikan keuntungan ekonomi.
Konsep
musyarakah atau konsep venture capital boleh dijadikan sebagai contoh bagaimana
instrumen kewangan moden boleh membangunkan tanah wakaf. Tunku Alina (2012)
mendapati bahawa dana wakaf boleh dilabur dan dikembangkan melalui konsep
venture capital atau musyarakah. Beliau juga mencadangkan agar model Enterprise
Waqf Fund diperkenalkan. Model ini distruktur berdasarkan tiga idea iaitu wakaf
tunai, sumbangan korporat dan modal teroka. Konsep venture capital (modal
teroka) adalah aset tunai yang digunakan dalam bentuk saham dalam syarikat
modal teroka. Fasa pertama pelaksanaan model ini ialah dengan mengumpul wang
tunai dan menjadikan saham serta instrument kewangan kepada aset tunai wakaf.
Fasa kedua, ialah dengan melaburkan wang yang terkumpul dalam pasaran dan dalam
instrument microfinance. Beliau juga merumuskan model ini boleh dilaksanakan,
namun ia perlu dibangunkan dengan tenaga professional dan mempunyai pentadbiran
yang baik.
Bagi
membangunkan tanah wakaf secara moden selain dari konsep (EWF), aset wakaf
boleh dibangunkan melalui pensekuritian. Pembangunan aset wakaf melalui sukuk
mempunyai potensi yang besar, namun di Malaysia ia masih belum betul-betul
dibangunkan. Setakat ini, Saudi Arabia dan Singapura telah menerbitkan sukuk
intifa dan musyarakah dalam pembangunan aset wakaf. Abul Hassan (2010)
mencadangkan aset wakaf boleh disekuritikan melalui sekuriti iaitu Sukuk
Musyarakah. Proses pensekuritian aset wakaf boleh diringkas melalui rajah
dibawah :
Kesimpulannya
model Sukuk atau pensekuritian Islam boleh dilakukan bagi mencairkan dana wakaf
yang beku. Dari sudut kestabilan pasaran Sukuk, simulasi yang dijalankan oleh Nur Azura Sanusi
(2012) yang mengumpulkan data sukuk pada
siri masa diantara 2001 – 2008 mendapati bahawa wujudnya kestabilan pasaran sukuk
dalam pasaran modal islam di Malaysia dan mencadangkan agar penerbitan sukuk
ditambah. Walaubagaimanapun oleh kerana hingga kini masih tiada lagi produk
kewangan yang berasaskan harta waqaf, maka menjadi keperluan bagi melakukan
simulasi-simulasi dan menguji model-model baru bagi dicadangkan sebagai produk
kewangan Islam yang menggabungkan ciri-ciri model pengurusan halal dan nilai
kebajikan.
|
|
|
Oleh yang demikian itu penulis mencadangkan agar dibangunkan model
pembangunan Sukuk Ijarah dalam waqaf pendidikan tinggi. Ia boleh dilakukan
dengan dengan menggabungkan struktur Sukuk Ijarah Mausufah fi Zimmah dengan
struktur wakaf pendidikan. Seterusnya model Sukuk Ijarah ini dijadikan sebagai
Sukuk Waqaf. Bagi menguji keberkesanan model ini dalam pembangunan ekonomi
halal, program simulasi digunakan untuk mengukur potensi dan keberkesana bagi
tempoh masa akan datang. Model tersebut
boleh digambarkan seperti dalam rajah dibawah.:
Dalam model
ini, ia dibina dengan dengan menggunakan kaedah BOT (Build Operate and
Transfer), penerbit Sukuk boleh menggunakan modal tunai dan aset sebagai aset
pendasar kepada dana awalan kepada pembinaan dua aset waqf iaitu aset
perniagaan yang digunakan sebagai operater dan aset pendidikan / kampus. Aset
perniagaan dan aset pendidikan dibina
melalui kontrak mudarabah selepas selesai kontrak mudarabah kontrak ijarah
digunakan bagi mendapatkan dana tambahan bagi operasi kedua-dua aset perniagaan
dan pendidikan. Pelabur akan mendapat pulangan daripada hasil sewaan dan
perkongsian modal. Penerbit akan membayar pulangan keuntungan daripada
perniagaan yang dilakukan. Walaubagaimanapun, sebahagian daripada pulangan
kepada pelabur akan dimasukkan kedalam portfolio waqaf. Portfolio ini akan
digunakan bagi membeli saham dan produk produk kewangan yang dapat menjana
keuntungan. Diakhir tempoh matang sukuk, penerbit akan membayar keseluruhan
jumlah pulangan dan memberikan pilihan kepada pelabur samaada untuk mewaqafkan
semuanya sebahagian atau sebahagian kecil dalam projek waqaf.
Oleh kerana
sukuk seperti ini belum diaplikasikan dalam mana-mana projek waqf, penulis
menggunakan program simulasi bagi menjangka pulangan, masalah yang dihadapi dan
cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam projek waqaf dan fungsinya dalam
pengurusan ekonomi halal.
No comments:
Post a Comment